Lontong Sayur Lodeh

Lontong Sayur Lodeh adalah sejenis lauk sayuran yang dimasak dengan campuran rempah dan santan. Sering disajikan di waktu sarapan pagi dan juga semasa sambutan Hari Raya, sayur lodeh ini biasanya dimakan bersama lontong. Lauk-lauk sampingan seperti Serunding Kelapa, Begedil dan Sambal Tumis menjadikan pelengkap untuk hidangan ini.


Resepi Lontong Sayur Lodeh



Resepi ini menghasilkan antara 6 hingga 10 hidangan.



BAHAN-BAHAN:
  • 3 keping tauhu potong dua (lebihkan jika suka)
  • 1 keping Tempeh (saiz empat segi) potong kecil
  • 200 gm lobak merah potong kecil 
  • 300 gm kobis hiris tebal 
  • 100 gm kacang panjang/buncis potong kecil berukuran 2cm
  • 400 ml santan
  • 600 ml  air
  • 30 gm su'un rendam sehingga lembut
  • garam secukup rasa
  • gula secukup rasa
  • minyak masak

(A) BAHAN-BAHAN KISAR:
  • 2 biji bawang merah besar (230 gm) 
  • 10 tangkai cili kering rendam dengan air panas selama 10 minit
  • 4 ulas bawang putih
  • 25 gm lengkuas
  • 2 batang serai bahagian putih sahaja
  • 6 biji buah keras
  • 15 gm kunyit hidup
  • 3 sdb udang kering rendam dengan air panas selama 10 minit
  • 2 sdk belacan disangai/bakar dahulu
  • 1/2 cawan air

CARA-CARA:

1. Panaskan sedikit minyak dalam kuali. Setelah panas, gorengkan tauhu dan tempeh sehingga kekuningan. Angkat dan ketepikan.

2. Keluarkan sedikit minyak, tinggalkan agak-agak 1/4 cawan minyak di dalam kuali. Terus tambahkan bahan-bahan kisar (A) dan tumis dengan api sederhana selama kira-kira 10 minit atau sehingga pecah minyak.

3. Campurkan santan dengan 600 ml air. Masukkan campuran ke dalam masakan dan didihkan, kacau sekali-sekala untuk mengelakkan pecah santan.

4. Masukkan semua sayur-sayuran dan su'un. Masak sehingga sayur lembut.

5. Akhir sekali, masukkan tauhu dan tempe goreng. Tambahkan garam dan gula sesuai rasa. Gaul rata dan masak selama 1 minit lagi.

6. Hidangkan Sayur Lodeh bersama lontong dan lauk-lauk sampingan.


#fivefootfivesg #hariraya #sarapanpagi