Pages

Epok-Epok Kentang

Enak dimakan pada bila-bila masa sahaja. Dengan inti kentangnya yang lembut didalam kulit pastri yang renyah, Epok-Epok Kentang adalah salah satu makanan ringan yang sangat disukai ramai.


Resepi Epok-Epok Kentang




Campurkan 1/2 sdk garam ke dalam air sejuk jika menggunakan mentega unsalted.

Baki kulit epok-epok dan inti kentang boleh dibekukan.



BAHAN-BAHAN:
  • 350 gm isi dada/paha ayam potong kecil-kecil
  • 4 biji kentang saiz besar potong dadu kecil
  • 1 biji bawang merah besar potong dadu kecil
  • 1 tangkai daun kari buang batangnya (optional)
  • 4 sdb cili kering kisar
  • 2 sdb serbuk kari daging
  • air
  • garam secukupnya
  • gula secukupnya
  • minyak masak

(A) BAHAN-BAHAN PERAP:
  • 1 sdk serbuk kari daging
  • 1/2 sdk garam

(B) BAHAN-BAHAN KISAR :
  • 1 biji bawang merah besar saiz sederhana
  • 3 ulas bawang putih
  • 2 sdb ikan bilis rendam selama 10 minit
  • 8 sdb udang kering rendam selama 10 minit
  • 1/4 cawan air, lebihkan jika perlu

(C) KULIT EPOK-EPOK:
  • 1/2 cawan minyak masak
  • 2 sdb mentega salted
  • 500 gm tepung serbaguna/gandum
  • 1 cawan air sejuk/ais

CARA-CARA:

1. Campurkan ayam dengan bahan-bahan perap (A). Gaul rata dan ketepikan.

2. Sediakan inti kentang: Panaskan 1/4 cawan minyak di kuali. Masukkan bawang yang didadu, tumis sehingga bawang menjadi layu. Masukkan daun kari dan bahan-bahan kisar (B), tumis sehingga naik bau. Masukkan pula cili kisar, dan tumis sehingga minyak mula memisah. Masukkan serbuk kari dan tumis selama 2 minit. Masukkan ayam, masak sehingga ayam berubah warna. Kemudian, tambahkan kentang dan air, tuang air hingga hampir ke paras kentang sahaja. Tambah garam dan gula dan gaul hingga sebati. Tutup kuali dan biarkan masak sehingga kentang lembut dan hampir kering. Matikan api dan pindahkan inti kentang ke dalam mangkuk dan ketepikan (Nota: kacau sekali-sekala di antara memasak untuk mengelakkan hangit.)

3. Sediakan doh (C): Panaskan minyak dan mentega di dalam periuk kecil sehingga campuran nampak berbuih. Seterusnya, tuangkan ke dalam mangkuk berisi tepung. Pastikan menggunakan mangkuk yang tahan panas. Campurkan tepung dan minyak menggunakan senduk kayu. Apabila tepung sudah cukup sejuk untuk dipegang, ramaskan tepung dengan jari sehingga tekstur menyerupai serbuk roti. Seterusnya, masukkan air sejuk sedikit demi sedikit dan gaul sehingga tersatu. Tutup mangkuk dengan kain atau cling wrap dan diamkan doh di dalam mangkuk selama 30 minit.

4. Epok-Epok: Dalam masa ini, doh sudah menjadi lembut dan sedikit berminyak. Ulikan sekejap sehingga doh menjadi halus dan licin. Kemudian bahagi-bahagikan doh kepada bebola kecil, anggaran 30 gram setiap satu. Tipiskan setiap bebola sehingga ketebalan 2mm. Letakkan sedikit inti kentang di tengah. Tutup rapat and kelim dengan menggunakan jari telunjuk dan ibu jari. Ulang sehingga semua doh habis digunakan. Setelah siap, panaskan minyak secukupnya di dalam kuali. Goreng epok-epok dengan api sederhana, balik-balikan ketika masak sehingga kuning keemasan.


#fivefootfivesg #epokepok #makananringan #minumpetang